Wednesday, November 25, 2009

Tuan Guru Haji Yahya Junid Ulama Pendidik dan Tokoh Masyarakat yang dihormati


Tuan Guru Haji Yahya bin Junid atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ya Junid adalah antara ulama besar Kedah yang sempat menadah kitab kepada ulama ulung Kedah yang bertalian nasabnya dengan Syeikh Muhammad Asryad al-Banjari iaitu Tuan Hussain Kedah. Tuan Guru Haji Yahya dilahirkan di Kampung Selengkoh, Yan, Kedah pada tahun 1911 Masehi bersamaan dengan 1330 Hijrah.[1] Beliau mendapat pendidikan awal dalam lingkungan keluarganya sendiri. Bondanya, Chik binti Sulaiman yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengajarkan ilmu al-Quran kepada beliau.[2] Atas kehendak ibunya yang mahu beliau mendalami dan menguasai ilmu agama, beliau dihantar belajar di Sungai Bakap, Seberang Perai. Disebabkan pada masa itu ibunya sedang sakit dan kerana terlalu kasihkan ibunya, beliau tidak tidak dapat mengikuti pelajaran disitu. Setelah ibunya meninggal pada tahun 1922, beliau diasuh oleh nendanya sehinggalah nendanya meninggal dunia di Makkah pada tahun 1923.[3] Tidak lama selepas itu, ayahandanya menghantar beliau ke rumah Lebai Faqeh untuk menimba ilmu.[4] Pada masa yang sama, beliau juga belajar di Sekolah Melayu Titi Gajah selama dua tahun.[5] Tuan Guru Haji Yahya nampaknya lebih berminat dengan ilmu-ilmu agama. Beliau memasuki beberapa pondok disekitar Kedah dan berguru dengan beberapa ulama besar pada ketika itu seperti,
1. Tuan Guru Haji Ahmad Rabat di Pondok Chegar, Gajah Mati pada tahun 1924.
2. Tuan Guru Haji Abdul Ghani Awang (menantu Tuan Hussain Kedah) di Pondok Tandop
3. Tuan Guru Haji Endut di Pondok Titi Gajah.[6]
Selepas menimba ilmu dipondok-pondok tersebut, barulah beliau berhijrah ke Pondok Khairiah, Pokok Sena, Seberang Perai untuk menimba ilmu kepada Tuan Hussain Kedah, ulamak Banjar yang sangat terkenal itu.[7] Tidak puas menimba ilmu di negeri kelahirannya, beliau bermusafir pula ke Kelantan. Pada tahun 1931, beliau tiba di Kota Bharu dan berguru dengan ulama besar Kelantan yang sangat masyhur iaitu Tok Kenali selama dua tahun di Pondok Masjid Muhammadi.[8] Selama beliau berada di Kelantan selama 6 tahun, beliau sempat menggurui ulama-ulama besar lain disana seperti
1. Tuan Guru Haji Saad Kangkong
2. Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang
3. Tuan Guru Haji Yaakub Legor.
4. Tuan Guru Haji Abdullah Tahir di Pondok Ahmadiah, Bunut Payong
5. Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad di Pondok Ahmadiah, Bunut Payong
6. Mufti Haji Ahmad Maher
7. Mufti Haji Mohd Nor Ibrahim
8. Tuan Guru Haji Yaakub Gajah Mati.[9]
Tuan Guru Haji Yahya kemudiannya kembali ke Kedah dan mula mengambil pentas mengajar didalam kuliah maghrib di surau-surau. Beliau kemudiannya berkahwin dengan Zawiyah binti Hashim[10] dan kemudian berangkat ke Makkah[11] pada tahun 1936. Beliau hanya mengajar di pondok setelah mendapat galakan dari gurunya, Tuan Guru Haji Yaakub Legor.[12] Pondok pertama yang mendapat sentuhan beliau ialah di Pondok Haji Majid Guar Chempedak. Beliau mula mengajar pada tahun 1939.[13] Pada tahun 1941, kira-kira 25 orang penduduk di Kampung Padang Lumat telah bermuafakat untuk menghidupkan semula Pondok Padang Lumat, Guar Chempedak yang sebelum ini telah diasaskan oleh Tuan Hussain Kedah.[14] Pondok itu telah ditinggalkan selama beberapa tahun tanpa diselia atau diurus dengan baik setelah pengasasnya, Tuan Hussain Kedah berhijrah ke Pokok Sena, Seberang Perai sekitar tahun 1920-an. Untuk tujuan pengurusan, masyarakat disitu telah melantik Tuan Guru Haji Yahya sebagai pengelola atau mudir pondok tersebut. Pelantikan beliau sebagai mudir sangat tepat berdasarkan kepada kapasiti beliau sebagai ulama muda yang sedang meningkat naik pada masa itu tambahan pula beliau sendiri adalah anak murid kepada pengasas pondok itu sendiri. Sepanjang pondok tersebut berada di bawah pengelolaan beliau, pelbagai kemajuan telah dicapai antaranya seperti,
1. Membangunkan kembali insititusi pondok tersebut sehingga menjadi sebuah sekolah yang lengkap dengan prasarana dan suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar.
2. Menamakan pondok tersebut dengan nama Madrasah Taufikiah Khairiah setahun selepas penubuhannya. Madrasah itu kemudiannya dirasmikan oleh anak pengasas pondok itu iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussain pada tahun yang sama. Madrasah itu juga kemudiannya didaftarkan dibawah Jabatan Agama Islam Kedah mengikut kurikulum sistem pondok.[15]
3. Dibawah pengelolaan Tuan Guru Haji Yahya, bilangan pelajar dan guru bertambah dalam tempoh yang singkat. Sebulan selepas madrasah itu dirasmikan, bilangan pelajar meningkat dari 18 orang kepada 194 orang pelajar manakala tenaga pengajarnya pula ialah seramai 3 orang.[16]
4. Madrasah Taufikiah yang ditadbir dibawah Tuan Guru Haji Yahya begitu cepat mencapai kemasyhuran. Pada tahun 1948, madrasah berkenaan telah dikunjungi oleh beberapa tokoh negara antaranya ialah seperti Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Yang Amat Berhormat Dato’ Syed Omar Syed Shahabuddin.[17]
5. Bagi menyeleraskan kurikulum pembelajaran dan disesuaikan dengan perkembangan semasa, sistem persekolahan formal telah diserap masuk menjadi sistem pengajian madrasah. Ianya berlaku pada tahun 1956.[18]
6. Anak murid Tuan Guru Haji Yahya yang kemudian menjadi menantunya iaitu Tuan Guru Haji Azahari Abdul Razak[19] telah dilantik menjadi pengetua madrasah. Sama seperti gurunya, Tuan Guru Haji Azahari telah meneruskan usaha yang dilakukan oleh gurunya sebelum ini iaitu berusaha menjadikan Madrasah Taufikiah sebaga salah satu pusat pengajian terulung di Tanah Melayu. Dua tahun selepas beliau menjadi pengetua, KDYMM Yang Dipertuan Agung Tuanku Sultan Abd Halim telah berkenan mencemar duli ke perayaan sambutan Jubli Perak madrasah tersebut. Nama Taufikiah Khairiah kemudiannya ditambah dengan perkataan al- Halimiah atas kurniaan baginda.[20]
7. Selain dari pengenalan sukatan pelajaran akademik, madrasah tersebut juga telah mengalami beberapa pertambahan dari segi prasarananya seperti bangunan sekolah dan asrama dimana pembinaanya telah disumbangkan oleh KDYMM Sultan Kedah, kerajaan dan orang ramai. Bahkan pada tahun 1979, cawangan madrasah ini telah berjaya dibuka di Guar Chempedak.[21]
Walaupun sibuk dengan urusan sekolah, Tuan Guru Haji Yahya tetap meluangkan masa dalam aktiviti yang melibatkan hal-hal kemasyarakatan. Sebagai contoh, beliau pernah mengasaskan Persatuan Ulama Kedah (PUK) pada 1946. Persatuan ini telah diasaskannya dengan seorang lagi ulama besar pada waktu itu iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution[22]. Beliau turut mengasaskan penubuhan dan pembinaan Masjid Kampung Sungai Dedap dan Masjid Batu 17, Guar Chempedak.[23] Kealimannya dalam bidang agama telah menyebabkan beliau dilantik menjadi Ahli Mesyuarat Majlis Agama Islam Kedah, Ahli Majlis Fatwa Kedah dan Ahli Jawatankuasa Zakat Kedah. Beliau berkhidmat dalam Jawatankuasa Zakat selama 40 tahun. Tuan Guru Haji Yahya menutup usia pada 6 Ogos 2001 dalam usia 90 tahun. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak.[24]


[1] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59
[2] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59
[3] http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=47:tuan-guru-haji-yahya-bin-junid&catid=34:sejarah-sekolah&Itemid=55. Dicapai pada 25 November 2009
[4] http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=47:tuan-guru-haji-yahya-bin-junid&catid=34:sejarah-sekolah&Itemid=55. Dicapai pada 25 November 2009
[5] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59
[6] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59
[7] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59
[8] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59
[9] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59
[10] Setelah isterinya yang pertama Zawiyah Binti Hashim meninggal dunia dalam tahun 1942, beliau kemudiannya dijodohkan dengan Hajjah Maryam Hj Taib yang merupakan anak saudara kepada Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussain
[11] Beliau diriwayatkan berangkat ke Makkah sekali lagi 17 tahun selepas itu dan tinggal di sana selama setahun untuk mendalami ilmu
[12] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59
[13] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59
[14] http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=50:sejarah-awal-penubuhan&catid=34:sejarah-sekolah&Itemid=55. Dicapai pada 25 November 2009
[15] http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=50:sejarah-awal-penubuhan&catid=34:sejarah-sekolah&Itemid=55. Dicapai pada 25 November 2009
[16] http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=50:sejarah-awal-penubuhan&catid=34:sejarah-sekolah&Itemid=55. Dicapai pada 25 November 2009
[17] http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=50:sejarah-awal-penubuhan&catid=34:sejarah-sekolah&Itemid=55. Dicapai pada 25 November 2009
[18] http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=50:sejarah-awal-penubuhan&catid=34:sejarah-sekolah&Itemid=55. Dicapai pada 25 November 2009
[19] Beliau telah dianugerah Tokoh Maal Hijrah Kedah bagi tahun 1420 Hijrah. Beliau meninggal dunia pada 16 Jun 2001 dua bulan sebelum Tuan Guru Haji Yahya meninggal dunia.
[20] http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=50:sejarah-awal-penubuhan&catid=34:sejarah-sekolah&Itemid=55. Dicapai pada 25 November 2009
[21] Mohd Fadli Ghani. 2008. Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 24 November 2008. Boleh dicapai di http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18044&Itemid=59

[22] http://www.mykedah2.com/10heritage/102_4_08.htm. Dicapai pada 25 November 2009. Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution ialah seorang pengarang kitab yang sangat aktif. Antara kitabnya yang terkenal ialah tafsir al-Quran yang ditulisnya dalam tempoh 8 tahun. Beliau meninggal dunia pada 4 Januari 1987 dalam usia 78 tahun
[23] http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=50:sejarah-awal-penubuhan&catid=34:sejarah-sekolah&Itemid=55. Dicapai pada 25 November 2009
[24] Ismail Hashim. 2001. Presiden PAS imamkan solat jenazah Pak Ya Junid. Harakah. Kuala Lumpur. Terbit pada 8 Ogos 2001




Bangunan asrama madrasah



Bangunan asrama madrasah

Gambar lama madrasah

Gambar lama madrasah


Lawatan Sultan Kedah ke madrasah


Sultan Kedah bersama tokoh madrasah


Almarhum Tuan Guru Haji Yahya Junid

*Gambar madrasah dirujuk dari laman web http://taufikiahpondokpakya.edu.my/galeri/. Dicapai pada 25 November 2009

No comments:

Post a Comment