Friday, May 29, 2009

Syeikh Muhammad Nafis Idris al-Banjari

Riwayat Hidup
Syeikh Muhammad Nafis dikatakan berasal dari kalangan keluarga bangsawan kerajaan Banjar. Beliau dilahirkan di salah satu desa yang sekarang termasuk dalam wilayah Martapura. Menurut seorang sarjana, Laily Mansur merujuk pada kitab Al-Durr al-Nafis yang ditulisnya pada tahun 1200 H atau 1785 M, jika umurnya pada waktu itu lebih kurang 50 tahun, maka dapatlah diperkirakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1150 H/1735 M. Akan tetapi beliau dikatakan hidup sezaman dengan Syeikh Muhammad Arsyad Al Banjari yang lahir pada tahun 1122 H/1710 M maka sudah tentu umurnya tidak jauh jaraknya dengan usia Muhammad Arsyad. Besar kemungkinan tahun kelahiran Syeikh Muhammad Nafis lebih kurang sama atau mendekati tahun kelahiran Muhammad Arsyad dengan bezanya samada lebih muda sedikit atau lebih tua sedikit yakni antara tahun 1700-1720 M. Salasilah ulama besar ini dikatakan bersambung sehingga ke Sultan Suriansyah (memerintah dari tahun 1527 hingga 1545 M) yang merupakan Raja Banjar pertama yang memeluk agama Islam. Sultan Suriansyah sebelum memeluk Islam bernama Pangeran Samudera. Salasilah lengkapnya adalah seperti berikut; Muhammad Nafis bin Idris bin Hussein bin Ratu Kasuma Yoeda bin Pangeran Kesuma Negara bin Pangeran Dipati bin Sultan Tahlillah bin Sultan Saidullah bin Sultan Inayatullah bin Sultan Mustain Billah bin Sultan Hidayatullah bin Sultan Rahmatullah bin Sultan Suriansyah.
Adapun bakat dan kecerdasan yang tinggi jika dibanding dengan teman-teman sebayanya pada waktu seakan-akan memberi tanda-tanda bahawa beliau akan menjadi seorang ulama besar, sebagaimana juga terlihat dalam diri Syeikh Muhammad Arsyad sehinggakan Sultan Banjar sendiri tertarik dengannya. Muhammad Nafis kemudiannya dihantar ke Makkah mendalami ilmu-ilmu agama serta ilmu-ilmu lainnya yang berguna untuk diterapkan dalam pengembangan dan pemberdayaan masyarakat Banjar ketika itu. Keberadaannya di Makkah diperkuat dengan penjelasannya sendiri dalam kitab al-Durr al-Nafis: “Dia yang menulis risalah ini…iaitu Muhammad al-Nafis bin Idris bin al-Husayn…yang dilahirkan di Banjar dan hidup di Mekkah.” Namun, tidaklah diketahui dengan pasti, tarikh tepat beliau berangkat ke Makkah. Sebahagian sarjana berpendapat masa belajar Syeikh Muhammad Nafis tidak jauh dari masa Muhammad Arsyad al-Banjari. Malah kebanyakan para masyayikhnya adalah sama dengan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari seperti Syeikh Muhammad bin Abdul Karim al-Samman al-Madani, Syeikh Muhammad al-Jauhari, Syeikh Abdullah bin Hijazi al-Syarqawi al-Misri, Syeikh Muhammad Shiddiq bin Umar Khan (murid al-Sammani) dan Syeikh Abdurrahman bin Abdul Aziz al-Maghribi. Syeikh Muhamad Nafis nampaknya cenderung mendalami ilmu tasawuf. Dalam ilmu tasawuf dan tariqat ini, Syeikh Muhammad Nafis telah berguru kepada Syeikh Abdullah Ibn Hijazi al Syarkawi al Misri, Syeikh Siddiq Ibn Umar Khan, Syeikh Muhammad Ibn Abdul Karim Samman al Madani, Syeikh Abdurrahman Ibn Abdul Aziz al Maghribi dan Syeikh Muhammad Ibn Ahmad al Jauhari. Dari para gurunya itu, Syeikh Muhammad Nafis mematangkan pengetahuan dan amalan tasawufnya sehinggalah ia diberi gelar kehormatan “Syekh Mursyid.” Dengan penghormatan itu, Syeikh Muhammad Nafis beroleh ijazah untuk mengajar dan membimbing ilmu tasawuf kepada masyarakat Islam. Sekian lama berada di Makkah, Syeikh Muhammad Nafis akhirnya kembali ke Nusantara. Seorang sarjana, Ahmadi Isa memperkirakan bahawa Syeikh Muhammad Nafis pulang ke Banjarmasin pada tahun 1210 H/1795. Pada masa itu, raja yang memerintah di kerajaan Banjar adalah Sultan Tahmidillah (Raja Islam Banjar XVI, 1778-1808 M). Setelah kembali ke Banjarmasin beliau lebih mengarahkan dakwahnya ke daerah Kelua (Kabupaten Tabalong) yang terletak kira 125 km dari Banjarmasin dan kawasan-kawasan sekitarnya yang disifatkannya sebagai daerah penting di pedalaman Kalimantan Selatan yang merupakan jantung penyebaran Islam dan kunci masuk menuju daerah Kalimantan Timur. Selain itu, beliau juga dikatakan memilih Kelua sebagai tempat dakwahnya yang utama kerana di Banjarmasin, Martapura dan daerah sekitarnya telahpun diisi oleh Syeikh Muhammad Arsyad. Sehinggalah dalam abad XVIII dan abad XIX daerah Kelua menjadi pusat penyebaran Islam di bahagian Utara Kalimantan Selatan hasil kegigihan dakwah yang disebarkan oleh Syeikh Muhammad Nafis. Bahkan, Kelua memiliki saham yang sangat besar dalam gerakan-gerakan penyebaran Islam sehinggalah kezaman perjuangan merebut kemerdekaan dari penjajahan kuasa asing. Selain dari menjadi pusat penyebaran dakwah Islam, Kelua juga turut melahirkan para pejuang anti-Belanda. Dakwah yang diterapkan oleh Syeikh Muhammad Nafis adalah berpangkal pada tasawwuf. Walaupun isi kandungan tasawwufnya sangat mendalam dan halus seperti yang terkandung dalam karya besarnya iaitu al-Durr al-Nafis namun Syeikh Muhammad Nafis dikatakan berjaya “merukunkan” tasawuf sunni dan falsafi yang diposisikannya secara diametral. Sejarah lampau menyatakan bahawa ajaran tasawwuf yang dibawa oleh Syeikh Muhammad Nafis telah membangkitkan semangat masyarakat Banjar untuk berjuang menentang penjajah. Semangat jihad berkobar-kobar sehingga menggerunkan Belanda . Belanda kemudiannya mengambil pelbagai langkah untuk mengendurkan semangat masyarakat Banjar tetapi gagal.
Karya-karya Syeikh Muhammad Nafis yang ditemui orang setakat ini ada tiga tetapi karya-karyanya senantiasa menjadi rujukan khususnya di Alam Melayu. Karyanya yang terbesar ialah al-Durr al-Nafis fi Bayan Wahdat al-Af’al wa al-Asma’ wa al-Sifat wa al-Dzat. Kitab ini membicarakan sufisme dan tauhid serta menjelaskan maqam-maqam perjalanan (suluk) untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Corak tasawuf dalam kitab ini adalah kombinasi tasawuf sunni dan falsafi. Seperti diungkapkan oleh Prof Azyumardi Azra, sejarawan dari Universitas Islam Negeri Jakarta, Syeikh Muhammad Nafis berusaha mendamaikan tradisi Al-Ghazali dan tradisi Ibn ‘Arabi. Dalam karyanya ini, di samping menggunakan ajaran-ajaran lisan dari para gurunya, Syeikh Muhammad Nafis merujuk pada karya-karya “Futuhat Al-Makkiyah” dan “Fusushl-Hikam” dari Ibn ‘Arabi, “Hikam” (Ibn Atha’illah), “Insan Al-Kamil” (Al-Jilli), “Ihya’ ‘Ulumiddin” dan “Minhaj Al-‘Abidin (Al-Ghazali), “Risalat Al-Qusyairiyyah” (Al-Qusyairi), “Jawahir wa Al-Durar” (Al-Sya’rani), “Mukhtashar Al-Tuhfat al-Mursalah” (‘Abdullah bin Ibrahim Al-Murghani), dan “Manhat Al-Muhaammadiyah” karya Al-Sammani. Kitab ini ditulis atas permintaan sahabat-sahabatnya ketika berada di Makkah. Menurut penuturannya, ia menulis kitab itu untuk menyelamatkan para salik (perambah jalan Tuhan) dari syirik khafi dan penyakit riya’ yang begitu menggejala menghinggapi umat muslim. Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu Arab bagi memudahkan umat membaca dan memahaminya. Oleh kerana mutu dan ajarannya yang tinggi, kitab ini telah dicetak berulang-ulang kali khususnya di seluruh Alam Melayu dan juga negara-negara lain seperti Arab Saudi dan Mesir. Dikatakan bahawa kitab ini berkali-kali dicetak di Kaherah oleh Dar Al-Thaba’ah (1347/1928) dan oleh Musthafa Al-Halabi (1362/1943) manakala di Makkah oleh Mathba’at Al-Karim Al-Islamiyah (1323/1905). Kitab ini dicetak buat pertama kalinya seratus tahun kemudian iaitu pada 1300 Hijrah bersamaan dengan 1882 M. Cetakan pertama ditashhih oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Pengaruh kitab ini begitu jelas terlihat dalam kitab-kitab tasawwuf yang terkemudian selepasnya seperti risalah Amal Ma’rifah karangan Syeikh Abdurrahman Siddiq Al Banjari tahun 1322 H dan risalah Kasyful Asrar karangan Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah Mengkabawi tahun 1344 H. Kitab lain yang tidak kurang pentingnya adalah Majmu’ al-Asrar li Ahl Allah al-Athyar yang juga berisi tentang ajaran tasawwuf.

Majmu' al-Asrar



Kitab berikutnya ialah Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan Wahdah fi al-Af'al wa al-Asma' wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah yang ditulis kira-kira 39 tahun selepas Ad-Durr an-Nafis. Tarikh tepat penulisan mulai waktu Dhuha, Jumaat, 15 Rabiulakhir 1239/19 Disember 1823. Ia selesai ditulis pada tengah malam Isnin, 9 Muharam 1240/3 September 1824. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ketika mengulas tentang kitab ini,
Sebelum memasuki kandungan Ad-Durrah an-Nafisah, sebagai mukadimah Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari memperkenalkan dua karya ringkas mengenai tasawuf. Sebuah 18 muka dan satu lagi 14 halaman. Kedua-duanya tanpa judul. Sebuah tanpa tahun dan sebuah lagi selesai penulisan pada malam, 30 Jamadilawal 1235/16 Januari 1820. Pada mukadimah risalah yang pertama, Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari menyebut mengenai ‘diri’ ada empat jenis. Kata beliau: “Pertama, diri yang berdiri, iaitu diri jasad atau tubuh badan. Kedua: diri yang terperi. Ketiga, diri yang nyata pada ilmu Allah. Keempat, diri yang sebenar-benar diri.” Keempat-empat ‘diri’ dihuraikan dengan agak panjang menurut kaedah dalam ilmu tasawuf.[1] Sambung almarhum, disebabkan kitab ini sangat halus dan tinggi perbahasannya tentang tasawwuf maka bahasa yang digunakannya sangatlah lembut dan beradab. Ini diulas oleh almarhum seperti berikut,Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari memulakan bicara dengan katanya: “Aku memulai akan risalah ini pada hijrah Nabi SAW seribu dua ratus tiga puluh sembilan tahun, pada tahun Alif, pada lima belas hari bulan Rabiulakhir, yaum al-Jum’ah, waktu Dhuha, jam pukul dulapan (maksudnya: Jumaat, jam 8 pada 15 Rabiulakhir 1239)”. Sebab beliau menulis kitab itu juga dinyatakan dalam mukadimah pada halaman berikutnya. Kata beliau: “Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun seribu dua ratus tiga puluh lima tahun, daripada tahun hijrah, pada hari yang ketiga puluh cukup, daripada bulan Jamadilawal, (maksudnya: pada 30 Jamadilawal 1235).” Selanjutnya beliau jelaskan: “Sanya memintalah kepadaku setengah daripada saudaraku yang telah dibukakan [oleh] Allah hatiku dan hatinya dengan cahaya terang musyahadah, yakni cahaya terang memandang dan mengenal.” Beliau jelaskan selanjutnya: "Bahawa itu aku perbuatkan baginya akan suatu risalah yang simpan (maksudnya: yang ringkas) perkataannya dengan bahasa Jawi-Melayu yang lemah lembut...”[2]
[1] Wan Mohd Saghir Wan Abdullah. Ad-Durrah an-Nafisah bahasan tasawuf, guna bahasa beradab dalam Berita Harian. Terbit pada 27 Disember 2005
[2] Wan Mohd Saghir Wan Abdullah. Ad-Durrah an-Nafisah bahasan tasawuf, guna bahasa beradab dalam Berita Harian. Terbit pada 27 Disember 2005

Ad-Durrah an-Nafisah yang diterbit semula oleh Khazanah Fathaniyah pada tahun 2007

Mukasurat pertama kitab Ad-Durrah an-Nafisah


Perbahasan Syeikh Muhammad Nafis tentang mazhab dalam aqidah lebih meluas dalam kitab ini berbanding dengan kitab al-Durr al-Nafis. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir apabila mengulas tentang hal ini,Sebelum memasuki bahasan tasawuf, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari terlebih dulu membicarakan mazhab dalam akidah. Megenai perkara ini ada yang beliau bicarakan dalam Ad-Durr an-Nafis. Tetapi, selepas dibanding ternyata dalam manuskrip Ad-Durrah an-Nafisah penambahan dan bahasan jauh lebih banyak serta perbicaraan jauh lebih luas dan mendalam. Mengenai dua mazhab iaitu Qadariyah dan Jabariyah tidak banyak tambahan, tetapi mengenai mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Ad-Durrah an-Nafisah ada tambahan yang sangat banyak. Dalil mengenai mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, beliau jelaskan ketika turun ayat al-Quran mengenai ‘kaum yang kasih kepada Allah’ salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah. Nabi menjawab dan menunjuk sahabat Baginda, Abu Musa al-Asy'ari. Manakala muncul keturunan beliau, iaitu Imam Abu Hasan al-Asy'ari, maka sepakatlah ulama bahawa Imam Abu Hasan al-Asy'ari R.A adalah ‘imam’ mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebut pula, ‘mazhab yang berpegang kepada iktikad Imam al-Asy'ari ini, iaitu Imam Malik ibnu Anas dan Imam Muhammad anak Idris Syafie. Maka, mazhab Imam Abu Hanifah ibnu Tsabit dan Imam Ahmad ibnu Hanbal itu adalah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang pada iktikad itu, iaitu Imam Abu Manshur Maturidi.’ Selepas membicarakan tiga mazhab di atas, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari membahas pula mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah golongan Ahl al-Kasyaf dan Musyahadah.[3]
[3] Wan Mohd Saghir Wan Abdullah. Ad-Durrah an-Nafisah bahasan tasawuf, guna bahasa beradab dalam Berita Harian. Terbit pada 27 Disember 2005
Dengan jasanya yang begitu besar, beliau telah diberi gelar Maulana al-Allamah al-Fahhamah al-Mursyid ila Tariq as-Salamah (Yang mulia, berilmu tinggi, terhormat, pembimbing ke jalan kebenaran).

Pertemuan dengan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari
Dalam satu kisah yang masyhur, khabarnya sekitar pertengahan tahun 1180 Hijrah bersamaan dengan 1772 M, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah bertemu dengan Syeikh Muhammad Nafis didalam Masjidil Haram setelah lama tidak bertemu. Pertemuan itu berlaku setelah beliau mengakhiri masa belajarnya setelah menuntut pelbagai cabang ilmu pengetahuan selama lebih kurang 25 tahun di Makkah Al-Mukarramah dan 5 tahun terakhir di Madinah Al-Munawwarah (iaitu dari tahun 1742 hingga 1772 Masehi). Selepas itu beliau kembali ke Makkah sebagai persiapan untuk kembali ke Tanah Jawi. Ceritanya begini,
Pada suatu hari Jum’at pertengahan tahun tersebut, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari bertemu dengan Syeikh Muhammad Nafis. Beliau langsung saja menanyakan bila Syeikh Muhammad Nafis berada di Makkah. Lalu dijawab oleh Syeikh Muhammad Nafis, baharu sahaja beliau berada disini lebih kurang satu jam yang lalu. Syeikh Muhammad Arsyad bertanya lagi, dengan kapal apa beliau datang kerana kapal dari Tanah Jawi ke Makkah lazimnya mengambil masa antara 3 hingga 5 bulan. Syeikh Muhammad Nafis lalu menjawab dengan isyarat yang membawa maksud beliau bukannya datang dengan kapal. Kemudian ditanyakan lagi oleh Syeikh Muhammad Arsyad tentang bila beliau akan kembali ke Tanah Jawi. Itupun tidak dijawabnya dengan lisan akan tetapi dijawabnya dengan isyarat yang pengertiannya membawa maksud ‘Insyallah satu jam kemudian’. Bagi Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang merupakan ulama besar dan sangat a’rif cukup mengerti dan faham tentang hal-hal yang mencarik adat sedemikian yang dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Pada hari Jum’at berikutnya, beliau bertemu lagi dengan Syeikh Muhammad Nafis didalam Masjidil Haram, namun tanpa sempat berkata apa-apa Syeikh Muhammad Nafis telah menghilang diri tanpa diketahui kemana arahnya. Kemudian pada hari Jum’at berikutnya lagi (iaitu Jum’at yang ketiga), Syeikh Muhammad Arsyad pada saat akan keluar dari Masjidil Haram melalui pintu menuju ke Syamiah langsung bertemu dengan Syeikh Muhammad Nafis lalu dirangkulnya dengan erat seraya berkata, saya juga tahun ini akan kembali ke Tanah Jawi setelah lebih tiga puluh tahun bermukim di Tanah Suci. Nanti di Martapura, Insyallah kita akan bertemu kembali. Ada banyak perkara yang perlu kita bicarakan dengan lebih luas. Setelah itu rangkulannya terhadap Syeikh Muhammad Nafis dilepaskan dan pada saat mereka bersalaman sebagai tanda perpisahan, Syeikh Muhammad Nafis berkata, diharap agar jangan sampai menemui saya setelah berada di Martapura kelak. Setelah berkata-kata, Syeikh Muhammad Nafis langsung menghilang tanpa diketahui kemana arahnya. Syeikh Muhammad Arsyad kembali ke Tanah Jawi selepas musim Haji tahun 1186 Hijrah (1772 M). Selepas mendapat restu dari guru-gurunya, beliau kembali ke Tanah Jawi bersama-sama dengan rakan baiknya iaitu Syeikh Abdush Shamad Al-Falimbani, Syeikh Abdul Wahab Bugis dan Syeikh Abdur Rahman Masri yang berasal dari Betawi. Dalam perjalanan pulang, beliau singgah di Jakarta beberapa hari bersama teman-teman beliau dan sempat memberikan petunjuk membetulkan arah Qiblat Masjid Jembatan Lima Jakarta tanggal 7 Mei 1172 M. Mereka berpisah di Jakarta dan kembali ke daerah asal mereka masing-masing. Setelah berada beberapa bulan di Martapura, beliau berhajat hendak bertemu dengan Syeikh Muhammad Nafis. Maklumat yang diperolehinya menyatakan bahawa Muhammad Nafis pada waktu itu berada di Desa Astambul. Dengan ditemani oleh dua orang pembantunya, Syeikh Muhammad Arsyad lalu segera ke Astambul. Tidaklah diketahui samada mereka kesana itu dengan menaiki perahu atau berjalan kaki. Sesampainya di Astambul, Muhammad Nafis telah berangkat menuju ke Rantau (Tapin) sehari sebelumnya. Perjalanan Syeikh Muhammad Arsyad diteruskan menuju ke Rantau tetapi apabila sampai disana Syeikh Muhammad Nafis telah berangkat pula menuju ke Tatakan. Kemudian perjalanan diteruskan dan sesampainya di Kandangan, Syeikh Muhammad Nafis tiada disitu dan dikhabarkan telah berangkat menuju ke Pantai Hambawang. Di Pantai Hambawang, mereka gagal berjumpa dengan Syeikh Muhammad Nafis kerana Syeikh Muhammad Nafis sudah berangkat menuju ke Amuntai. Begitulah seterusnya sehingga ke Kelua dan akhir sekali di Sampit. Di Sampit, Syeikh Muhammad Nafis beristirehat di sebuah rumah tokoh penduduk setempat. Syeikh Muhammad Arsyad dengan bantuan penduduk disitu akhirnya berjaya menemui rumah tersebut lalu dia juga mengambil keputusan untuk berehat disitu. Namun hajat Syeikh Muhammad Arsyad untuk berbicara dengan Syeikh Muhammad Nafis tidak kesampaian apabila Syeikh Muhammad Nafis telah berpulang ke rahmatullah. Hal ini barangkali sesuai dengan isyarat pada saat perpisahan pada pertemuan yang ketiga mereka di Masjidil Haram.

Makam Syeikh Muhammad Nafis

Tentang tahun wafatnya Syeikh Muhammad Nafis, ada yang menyatakan bahawa beliau wafat pada tahun 1780. Ada pula yang percaya bahawa beliau wafat pada tahun 1812 Masehi ketika usianya 77 tahun. Tetapi jika melihat pada tarikh dua kitab yang ditulisnya iaitu Ad-Durrah dan Majmu', kedua-duanya hanya selesai ditulis sekitar tahun 1820-an. Manakala jika kisah pertemuannya dengan Syeikh Muhammad Arsyad diambil kira, maka Syeikh Muhammad Nafis berkemungkinan meninggal dunia sebelum tahun 1812 M sebab pada tahun itulah Syeikh Muhammad Arsyad meninggal dunia. Wallahualam.

Makam Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari terletak di Mahar Kuning Desa Binturu yang jaraknya sekitar 5 Km dari Pasar Kelua Kabupaten Tabalong.

Manuskrip
Di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Kuala Lumpur, terdapat 3 buah manuskrip karangan Syeikh Muhammad Nafis. Pertama, manuskrip yang dinamakan dengan Fragmen kitab huruf huruf abjad dalam al-Quran,Ilmu haqiqat yang sebenar benar, Majmu' al-asrar, Masalah orang yang dijadikan imam. Manuskrip ini mempunyai 44 mukasurat dan masih boleh dibaca dengan baik. Ia ditanda dengan kod MSS 1837. Catatan pada manuskrip menyatakan bahawa kitab ini ditulis oleh Syeikh Muhammad Nafis pada waktu dhuha 8 Ramadhan 1245H bersamaan dengan tahun 1829M. Kedua, manuskrip yang sangat terkenal di Alam Melayu iaitu Al-dur al-nafis. Manuskrip ini adalah salinan kepada kitab asal Syeikh Muhammad Nafis yang ditulis di Makkah al-Mukarramah. Penyalinnya ialah Tuan Haji Kenoh bin Tuan Haji Abdul Ghafur . Manuskrip ini ditanda dengan kod MSS 225. Manuskrip ini mempunyai 84 mukasurat dan catatan menunjukkan bahawa karya asal telah ditulis oleh Syeikh Muhammad Nafis pada 7 Muharam 1200 H yang bersamaan dengan 18 Februari 1785 M. Salinan pula telah diselesaikan pada 3 Jamadilawal 1306 H bersamaan dengan 5 Januari 1888 M juga di Makkah al-Mukarramah. Ketiga, juga manuskrip Durr al-nafis tetapi disalin oleh Ibrahim orang Kelantan ibn Abdul Muhit Patani hari Isnin 12 Zulkaedah tanpa tahun di Makkah al-Mukarramah. Manuskrip ini mempunyai 54 mukasurat.

Kitab Ad-Durr al-Nafis yang telah dirumikan dan diterbit semula oleh Jahabersa